LATAR BELAKANG SEKOLAH



LATAR BELAKANG SK BALIK PULAU





Sekolah Kebangsaan Balik Pulau (SKBP) ini mula dibina sekitar tahun 2000.  Tapak bangunan SKBP ini asalnya adalah bekas kawasan operasi tentera Jepun semasa pemerintahan mereka di Tanah Melayu, iaitu antara tahun 1941 hingga 1945. 

Selepas tentera Jepun berundur, kawasan ini terbiar kosong dan dipenuhi dengan pohon-pohon janggus.  Pada masa itu kerja-kerja mengambil pasir putih yang memenuhi kawasan ini pihak-pihak tertentu dibuat.  Mantan Perdana Menteri Malaysia Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir bin Mohamad pernah menyifatkan pasir putih ini sebagai pasir yang amat tinggi mutunya jika boleh diusahakan perusahaan kaca yang bakal menghasilkan harga yang amat mahal sekali.

SKBP telah siap dibina sepenuhnya pada tahun 2002.  Pengurusan dan pentadbiran pembinaan SKBP ini adalah di bawah urusan terus dari Kementerian Pendidikan Malaysia yang dipantau oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang.  Peruntukan pembinaan SKBP ini melalui program pinjaman dari Bank Dunia.  Keluasan kawasan SKBP ialah 10 ekar atau 4.047 hektar. 


Ada 4 bangunan utama iaitu Bangunan Sayidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangunan Sayidina Umar Al-Khatab, Bangunan Sayidina Uthman Al-Affan dan Bangunan Sayidina Ali Abi Talib.


SKBP mula beroperasi pada 1 Julai 2002 dengan kemasukan seramai 157 orang murid, lelaki dan perempuan, iaitu dari Tahun 1 hingga Tahun 3.  Kebanyakan murid-murid ini diambil dari murid-murid Sekolah Kebangsaan Genting, Balik Pulau.

Seramai 10 orang guru telah melaporkan diri untuk bertugas di SKBP pada tarikh tersebut.  Encik Rahmat bin Jahari telah diberi kepercayaan oleh JPN untuk menjalankan tugas sebagai Penyelaras SKBP mulai 16 Jun 2002.

Pada 16 Ogos 2002, Tuan Haji Shaharani bin Haji Saidin telah melaporkan diri untuk menjalankan tugas rasmi sebagai Guru Besar SKBP yang pertama.  Beliau sebelum ini bertugas sebagai Guru Besar di SK Titi Teras, Balik Pulau.

Pada 1 Ogos 2010, Encik Mohd Zaki bin Idris telah melaporkan diri untuk menjalankan tugas rasmi sebagai Guru Besar SKBP yang kedua.  Beliau sebelum ini bertugas sebagai Guru Besar di SK Sungai Pinang, Balik Pulau.

Sebagai sekolah yang baru, SKBP telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan prasarana yang terkini bagi menyempurnakan proses P&P berjalan dengan lancar dan berkesan.  Antaranya ialah:

·         Perpustakaan berhawa dingin
·         Makmal Komputer berhawa dingin
·         Makmal Sains dan Makmal Kemahiran Hidup
·         Dewan Serbaguna dan Dewan Tertutup
·         Surau
·         Bilik Rawatan
·         Bilik Tayangan
·         Dan Berbagai-bagai lagi.

Guru-guru berbincang dan mendapat kata sepakat memilih Beriman, Berilmu, Beramal sebagai Moto Sekolah.  Sementara Misinya ialah Memertabatkan Sekolah Yang Unggul Dari Aspek Kurikulum, Ko Kurikulum, Keceriaan dan Kesahsiahan Budaya Islam, dan Visinya ialah Melahirkan Warga SKBP yang Berketerampilan, Berilmu dan Teguh Dengan Budaya Islam.

Pada tahun 2004 sebuah kelas Pra Sekolah telah diwujudkan.  Kelas ini telah dinamakan dengan Kelas Pra Khadijah, iaitu sempenan dengan nama Isteri Nabi Muhammad SAW.  Seramai 25 orang  murid yang terdiri dari lelaki dan perempuan telah dipilih sebagai murid-murid yang awal belajar di kelas tersebut.  Kelas ini telah dikendalikan oleh seorang guru yang bertauliah dengan dibantu oleh seorang Pembantu Pengurusan Murid yang berkelayakan yang dipilih oleh JPN.  Pada tahun 2006, kelas Pra Sekolah telah ditambah satu kelas lagi, dan diberi nama Kelas Pra Aisyah.

Satu perkara yang hendak di utara di sini, iaitu satu bidang yang ingin diberi tumpuan utama iaitu tentang sekolah berwatak.  Sesuai dengan kawasan yang dikelilingi kawasan bertar, dan amat sesuai dengan latihan kawad, pihak pengurusan sekolah telah sepakat mengwujudkan Sekolah Berwatak TKRS, iaitu dengan semua murid Tahap 2 melibatkan diri menjadi Ahli TKRS ( Tunas Kadet Remaja Sekolah ).   Adalah diharapkan suatu hari nanti SKBP akan menjadi Sekolah Berwatak TKRS menjadi kenyataan.  Langkah pertama talah pun berhasil , di mana pada tahun 2007 Pasukan TKRS, SKBP telah dianugerahkan dengan Anugerah Kecemelangan Ko Kurikulum Peringkat Negeri Pulau Pinang.

SKBP juga telah dipilih oleh JPN sebagai sekolah rintis pelaksanaan Program j-QAF iaitu pada tahun 2005.  Tumpuan untuk murid-murid Tahun 1.  Seramai 3 orang guru telah ditempatkan di sini, iaitu seorang lepasan Universiti Al Azhar, Mesir dan 2 orang lagi lepasan Universiti Malaya.  Seramai 104 orang murid terlibat.  Program yang berasaskan keagamaan ini menitikberatkan pelajaran Jawi, Al Quran, Bahasa Arab, dan Fardu ‘Ain.  Tahun 2006 dan 2007 SKBP telah menjadi salah sebuah sekolah yang amat berjaya dalam pelaksanaan Program j-QAF, dan telah dikenal pasti sebagai Sekolah Penanda Aras program tersebut.  Pada tahun 2009 SKBP telah dipilih oleh JPN mewakili Negeri Pulau Pinang memberi laporan pelaksanaan program tersebut Peringkat Wilayah Utara di Pulau Langkawi.

Pada tahun 2007 SKBP telah mengorak langkah ke arah pencapaian yang lebih cemerlang lagi.  Perkara pertama yang patut dibanggakan di sini ialah Program Bank Kitar Semula.  Program ini adalah atas kerjasama Majlis Perbandaran Pulau Pinang, iaitu yang menekankan konsepnya mendidik warga SKBP memelihara alam sekitar dan ke arah Sifar Sampah.  Warga SKBP boleh menjual sebarang bentuk sampah tertentu kepada bank tersebut, dengan kadar harga mengikut keadaan semasa harga bahan-bahan tersebut.  Rasionalnya selain dari mendidik , menjaga kebersihan dan menjaga alam sekitar, warga SKBP dapat mengumpul sumber kewangan.

SKBP amat menitikberatkan perkembangan murid-murid sesuai dengan kehendak PFK yang memfokuskan JERI.  SKBP sentiasa menjadi tumpuan dan perhatian masyarakat setempat.  Adalah diharapkan kecemerlangan dan kegemilangan sekolah ini menjadi kenyataan suatu hari nanti.  Tambahan pula pernah dicalonkan oleh JPN untuk Anugerah Sekolah Harapan Negara 2007.  Didoakan agar sekolah ini menjadi institusi yang unggul menjelang tahun di suatu hari nanti. 






No comments:

Post a Comment